Wednesday, April 24, 2013

Orang kita bercakap pasal apa hari ini....?

23 April 2013... suatu petang yang redup saya meminta emak untuk menemani saya ke bengkel kereta yang berdekatan dengan rumah, nak ambil kereta yang sudah dibaiki setelah mengalami sedikit remuk di bahagian hadapan bumper kereta. Disebabkan petang itu ada pasar malam, maka kami harus menempuhnya untuk  ke bengkel kereta itu.

Saya bertanya pada emak, terasa macam bulan puasa pula kita ke pasar malam ni ye. Macam nak beli juadah berbuka. Lantas emak jawab, dah memang nak dekat pun. Dah tak lama dah.....

Hemm... betul lah tue. Mengikut tarikh entry post ni, ( 25 April 2013 @ 14 Jamadil akhir 1434H), bila dikira-kira, kita mempunyai masa lebih kurang 2 bulan 10 hari lagi sebelum kedatangan Ramadhan... Ya Allah, semakin hampir Ramadhan Mu... Mohon doakan agar kita sama-sama dapat berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang ni..

Namun, cerita bulan puasa itu tidak terasa lagi bahangnya, walaupun pada hakikatnya ia semakin dekat. Tapi ada satu kisah yang lagi dekat dengan kita semua buat masa ini. Kisah PRU ke 13. Ya, inilah bahang yang semakin hangat diperkatakan dimana-mana saja. Satu kisah yang cukup panas untuk dibicarakan dan hangat dirasai sekalipun bercakap dalam bilik yang berhawa dingin takat beku.

Mengapa kita sibuk bercakap tentang pilihanraya sekarang ni?

Sebab, dah musim pilihanraya, maka kita bercakaplah pasal pilihanraya. Tak gitu? Yer, benar... Tapi apa yang sampai hangat dan panasnya? Nah, kita tanyalah pada diri sendiri. Kita nilaikanlah sendiri.

Dulu, saya bukanlah orang yang benar-benar mahu menyibukkan diri dengan hal-hal politik ini. Bahkan jika diambil tahu sekalipun, hanya sekadar untuk pengetahuan, bukan untuk niat berhujah sekalipun dan dengan sesiapa pun. Sampai begitu sekali.... Ya, benar. Kerana ketika itu saya masih naif, jahil dan cetek ilmu serta pengalaman, sehinggakan saya merasa kabur untuk memilih mana yang terbaik. Dan pernah suatu ketika saya suarakan perkara ini kepada murabbi saya tentang perancangan parti-parti yang ada dan sejauh mana perancangan-perancangan mereka itu dapat dicapai. Dek kerana pening memikirkan agenda masing-masing, maka saya mengambil kata hati yang lemah, untuk malas nak ambil kisah.

Nah! Kali ini soalan ini sekali lagi menerjah ke fikiran saya. Mengapa saya harus ambil tahu.

Saya harus ambil tahu dan wajib untuk tahu. Soal politik, merupakan soal kepimpinan, pemerintahan,  pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara ataupun negeri, dimana sebagai umat Islam, kita mahukan sistem pemerintahan yang sentiasa menegakkan syiar-syiar Islam walau apa cara sekalipun tanpa berlaku diskriminasi kaum dan bangsa. Saya kira, tidak perlu lah lagi saya memanjang lebarkan entri post saya kali ini untuk menceritakan tentang kehangatan pilihanraya kita kali ini, kerana saya sedia maklum, yang membaca entri ini pun sudah tahu apa yang terjadi dan lagi arif tentangnya.

Apa yang saya mahukan dari saya dan kalian juga, sama-samalah kita renungkan kembali dengan apa yang telah kita lalui selama ini atas sistem pemerintahan yang ada sekarang ini. Cubalah beri sedikit ruang dan waktu untuk menambahkan lagi kefahaman kita tentang perkara ini. Benarlah kata ramai ahli ilmuan dan cerdik pandai, 1 undi kita amat bermakna, tapi jangan kita main-main dengan 1 undi itu, kerana 1 undi itu jugalah yang akan menentukan amal timbangan amalan kita di akhirat kelak dalam memilih pemimpin yang boleh menegakkan keadilan dan kebenaran.

Saya menyeru, jika ada kelapangan untuk mendengar kempen, ceramah, bersua muka dengan calon pemimpin, berbual dan bersembang ke, gunakanlah masa itu dengan sebaik-baiknya. Rebutlah peluang itu sebelum kita menetapkan keputusan untuk memilih walaupun di fikiran kita sudah ada jawapannya, tapi teruskan berusaha. Setidak-tidaknya, jika pilihan kita itu silap, di akhirat kelak kita mampu mengatakan di hadapan Allah, bahawa kita sudah berusaha untuk memilih yang terbaik dan sudah tentu kita tak akan tahu ramalan mana yang paling baik, hanya Allah yang Maha Mengetahui akan hal hamba-hambaNya.

Saya doakan agar sesama kita dapat berpolitik dengan cara sihat dan berhikmah, sekalipun kita berpolitik di medan pejabat, di sekolah, di kampus, di pasar, di atas jalan raya, di gelanggang perlawanan bola atau badminton, atau dimana-mana sahaja.

Jernihkan hati, jernihkan fikiran, semoga Allah luruskan hati kita semua ke arah kebenaran! InsyaAllah. Selamat menjalani ibadah berkempen dan mengundi.... ;)











 

No comments: