Monday, May 23, 2011

DOA Jangan Minta Disegerakan


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan Tuhanmu berfirman: 'Berdoalah kepadaKu nescaya akan Kuperkenankan bagimu'. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembahKu akan dimasukkan ke neraka jahanam dalam keadaan hina". -Surah Ghafir (40): 60-

Ketika mentafsirkan ayat suci ini, al-Allamah ibn Kathir telah menukilkan kata-kata Qatadah: "Ka'bul Ahbar berkata bahawa antara kelebihan umat ini berbanding umat terdahulu ialah nabi terdahulu dikatakan kepada mereka, "Berdoalah kepadaKu pasti Aku perkenankan doamu"..Sedangkan kepada umat ini Allah berfirman: "Berdoalah kepadaKu nescaya Aku perkenankan kepadamu sekalian"...

Ayat ini bermaksud Allah s.w.t telah memberi keistimewaan buat umat ini dengan menjanjikan bahawa segala doa yang kita panjatkan pasti diperkenankan oleh-Nya berbanding dengan seruan Allah kepada umat nabi yang terdahulu..

Syeikh Abul Qasim al-Qusyairi telah menyatakan dalam risalah Qusyairiah nya: "Doa adalah kunci segala hajat, penghibur orang miskin, pelindung orang kesempitan dan pemberi ketenangan buat manusia yang berkeinginan". Doa merupakan ibadah dan bukti pengakuan terhadap sifat lemah seorang hamba terhadap kekuatan dan kesempurnaan zat-Nya. Bahkan Allah s.w.t mencintai hamba-hamba-Nya yang sentiasa berdoa dan merintih kepada-Nya...

Jadi, Bila Doa Hendak Dikabulkan?

Mungkin persoalan sebegini pernah kita alami, ataupun mengkin kita pernah mendengar rintihan mereka yang mahukan agar doa dimakbulkan..."Mengapakah doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah sedangkan Allah menjanjikan kepada hamba-Nya bahawa setiap doa yang dibisikkan pasti akan diperkenankan. Bukankah Allah menegaskan bahawa Dia tidak akan menyalahi janji-janji-Nya? Pertanyaan lagi,"Saya dah kahwin selama 15 tahun, dan tidak putus-putus berdoa agar diberikan zuriat. Tapi sampai sekarang masih belum lagi Allah kabulkan doa saya". Mungkin juga kita pernah berdoa selama bertahun-tahun, tapi masih lagi tidak ditemukan jodoh. Bahkan rakan-rakan lain semuanya sudah mempunyai keluarga sendiri...

Berikut merupakan mungkin serba sedikit yang pernah bemain di fikiran kita. Benar bukan? Baiklah...Hadirnya syaitan sebenarnya ingin menambahkan lagi kekeliruan agar ia berkesudahan dengan sikap berputus asa. Sedangkan putus asa itu dilarang oleh Allah s.w.t.

Bagi menjawab persoalan ini, ada baiknya penulis menukilkan kata-kata Syeikh Ibn Athaillah seperti yang dinyatakan dalam al-Hikam. Maksudnya: "Jangan berputus asa jika Allah s.w.t melewatkan penerimaan doa sekalipun kamu sudah bersungguh-sungguh berdoa kerana Allah menjamin penerimaan semua doa menurut yang Dia tentukan untukmu bukannya menurut kehendakmu dan (akan dikabulkan) pada waktu yang ditentukan-Nya bukan pada waktu yang ditentukan olehmu".

Inilah hakikat sebuah doa. Semuanya adalah menurut kehendak-Nya semata kerana Dia-lah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik di sisi-Nya buat makhluk yang tidak terdaya ini. Keyakinan dan kesabaran dalam menerima anugerah-Nya adalah sifat yang dituntut dalam membina keyakinan dan bersangka baik pada Allah s.w.t.

Bahkan doa Nabi Musa dan Nabi Harun seperti yang dirakamkan oleh Allah s.w.t dalam surah Yunus:88-89, yang menginginkan agar Firaun dan tenteranya dibinasakan Allah dikabulkan setelah 40 tahun mereka berterusan dalam keingkaran. Begitu juga doa Nabi Zakaria yang sentiasa merintih kepada Allah agar dikurniakan zuriat. Al-Quran mengisahkan kepada kita sebagaimana firman-Nya dalam surah Maryam:2-10, bahawa doa Zakaria itu dikabulkan ketika usianya telah lanjut serta uban memenuhi kepalanya.

Subhanallah....Maha suci Allah yang Maha Mengetahui segala yang terbaik buat hamba-hamba-Nya yang berdoa. Sedangkan Dia pasti mengkabulkan segala doa itu mengikut keinginan-Nya. Tunduk dan patuhlah kita dalam menerima kurniaan-Nya dan jangan sekali-kali kita berputus asa. Bukankah Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya doa seseorang itu tidak akan lepas daripada salah satu dari 3 perkara iaitu; adakalanya diampuni dosanya, adakalanya diberikan kebaikan segera (dikabulkan sesuai dengan permintaanya) dan adakala ditunda pengkabulannya".

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:
"Doa seseorang daripada kamu pasti akan diperkenankan selama kamu tidak meminta disegerakan pengkabulannya dengan mengatakan, 'Aku sentiasa berdoa kepada Tuhan tetapi mengapa masih belum dikabulkan?". (Muttafaq 'alaih)  

Oleh sebab itulah berdoalah dan bersangka baiklah...Wallah 'alam....




Artikel telah diedit oleh penulis.
Sumber artikel: Rashidy Jamil al-Rashid, Solusi, isu No. 26.